Thursday, November 20, 2014

NASEHAT IMAM AL-GHAZALI TENTANG TAKUT (KHOUF)




Dalam kitabnya "Mukasyafah al-Qulub:Al-Muqanib ila Hadrah 'Allam al-Ghuyub fi 'Ilm at-Tashawwuf" Imam al- Ghazali mengutip pernyataan dari al-Faqih Abu Layts tentang tanda takutnya seorang hamba pada Allah swt. Menurut al-Faqih Abu Layts,tanda takut pada Allah swt tampak pada 7 hal: 

1. Pada lisan - Mencegah lidahnya daripada perkataan dusta, memfitnah, menipu dan perkataan yang tidak berguna. Sebaliknya ia menggunakannya pada jalan berzikir kepada Allah, membaca al-Quran dan menghafaz ilmu.

2.   Pada hati - Mengeluarkan dari dalam hatinya rasa permusuhan, kebodohan dan hasad dengki. Perasaan hasad dengki dapat menghapuskan amal kebajikan, sebagaimana hadis jujungan mulia, “Hasad dengki memakan kebaikan seperti api membakar daun kering.”
3. Pada pandangan - Tidak memandang perkara-perkara yang diharamkan Allah, sebaliknya mengarahkan pandangannya kepada sesuatu seraya mengambil pelajaran hidup (`ibrah) sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, “Barangsiapa yang memenuhi kedua-dua matanya dengan pandangan haram, nescaya pada hari kiamat Allah akan memenuhi kedua-dua matanya dengan api neraka.”

4.  Pada perut - Tidak memasukkan ke dalam perutnya segala makanan dan minuman yang haram, sebagaimana hadis yang bermaksud: “Apabila satu suap makanan yang haram jatuh ke dalam perut anak Adam, setiap malaikat di bumi dan langit melaknatnya selama suapan itu berada di dalam perutnya. Jika ia mati dalam keadaan itu, tempat kembalinya adalah neraka Jahannam.”

5.   Pada kedua-dua tangan - Tidak menggunakannya pada jalan kemungkaran, sebaliknya pada jalan yang diredhai Allah. Hayatilah sabda Rasulullah sallalahu alaihi wasallam, “Allah membangunkan sebuah rumah itu 70 ribu buah rumah yang masing-masing memiliki 70 ribu kamar. Tidak ada orang yang dapat memasukinya kecuali orang yang meninggalkan setiap yang haram kerana Allah.”

6.  Pada kedua-dua kaki - Tidak berjalan untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah, sebaliknya ia berjalan pada ketaatan dan keredhaan Allah serta dalam bergaul dengan para ulama.
7.   Pada ketaatan - Menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah serta takut akan riak dan kemunafikan. Apabila melakukan hal tersebut, termasuklah ia dalam golongan orang yang disebut oleh Allah dalam firman-Nya dalam surah at-Tur ayat 17 dan surah Az-Zukhruf ayat 35.

Ada satu hikayat dalam kitab "Majma'ul Lathaif", yang mana dalam golongan Bani israil, ada seorang lelaki abid yang menanggung keluarganya yang ramai. Dia ditimpa kecelakaan yang menyulitkannya mencari pendapatan sehingga dia tidak mampu memberikan apa-apa kepada keluarganya. Lalu dia memerintahkan isterinya agar mencari sesuatu untuk menanggung keluarganya.

Kemudian perempuan itu pergi ke sebuah rumah kepunyaan seorang yang kaya dan meminta sedikit makanan untuk keluarganya. Orang kaya itu berkata, "Baiklah, tapi serahkanlah dirimu kepadaku barang sebentar." Perempuan itu terdiam dan segera pulang ke rumahnya.

Apabila sampai saja perempuan itu ke rumahnya tanpa membawa apa-apa, merengek-rengeklah anak-anaknya kerana kelaparan. Melihatkan keadaan itu, hati tidak tertahan lagi lalu dia kembali ke rumah orang kaya tersebut. Orang kaya itu bertanya, "Apakah engkau bersetuju dengan permintaanku?" Perempuan itu mengganguk.

Namun, ketika berada dalam bilik yang sunyi itu, tubuh perempuan tersebut menggeletar seolah-olah seluruh anggota tubuhnya hendak terlepas. Maka orang kaya pun bertanya, "Mengapakah engkau menjadi demikian?" Perempuan itu menjawab, "Sesungguhnya aku takut kepada Allah." Kemudian orang kaya itu berkata, "Engkau lebih takut kepada Allah daripada kefakiranmu. Maka semestinya aku lebih takut daripada engkau."

Segera dia menghentikan keinginannya terhadap perempuan itu. Diberikannya apa saja yang diminta dan perempuan itu pun pulang ke rumahnya dengan membawa nikmat yang melimpah sehingga keluarganya menjadi senang. Kemudian Allah memberi wahyu kepada Nabi Musa a.s., "Katakanlah kepada Fulan Bin Fulan. Aku telah mengampuni dosanya."

Lalu Nabi Musa alaihissalam datang kepada orang kaya itu seraya berkata, "Barangkali engkau telah berbuat suatu kebaikan antara engkau dengan Allah." Lalu orang kaya itu menceritakan apa yang telah berlaku dan Nabi Musa alaihissalam berkata, "Sesungguhnya Allah subhanahu wa Taala telah mengampuni segala dosa-dosamu."

Nah, Ketahuilah bahawa sifat takut kepada Allah mesti ada pada seseorang hamba kerana ia amat penting dalam kehidupan kita di dunia ini. Bahkan sifat takut inilah yang akan menjadi benteng atau penghalang kita daripada mengerjakan perbuatan maksiat dan kemungkaran. Semoga dengan demikian Allah akan kasih dan melindungi kita daripada azab seksa-Nya.

"Sesungguhnya orang-orang yang takut melanggar hukum Tuhan-Nya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar. (Al-Mulk: 12) (ubes)

No comments:

Post a Comment